Mengenai Kami

Soalan Lazim

Soalan Lazim

1. Apakah cukai taksiran?

Cukai Taksiran ialah cukai yang dikenakan keatas pelanggan berkadar seperti rumah kediaman, kedai, kilang, hotel, stesen minyak, dan tanah kosong yang terdapat di kawasan Majlis Daerah.

2. Bagaimana cara ianya boleh dibayar?
  • Dua (2) kali setahun iaitu :
    1/2 tahun pertama - bayar sebelum 28hb, Februari.
    1/2 tahun kedua - bayar sebelum 31hb, Ogos.
3. Apakah yang terjadi jika tidak menjelaskan cukai taksiran dalam tempoh tersebut?

Mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, tindakan-tindakan boleh dikenakan seperti berikut:
Notis (Borang E) akan dikeluarkan dan ANDA dikehendaki menjelaskan dalam masa 15 hari dari tarikh Notis ini dikeluarkan. Denda lewat akan dikenakan seperti berikut :

Jumlah Wang Yang Belum Dibayar   

 Yang Kena Bayar   

 Tidak melebihi RM50.00

RM2.00

 RM50.00 keatas

RM5.00
       

Notis tuntutan akan dikeluarkan jika bayaran sepenuhnya tidak dibayar dalam tempoh 15 hari dari tarikh notis tuntutan ini dikeluarkan maka waran tahanan boleh dikeluarkan dibawah seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan bayaran waran tahanan akan dikenakan seperti dibawah :

Bayaran Waran Tahanan 3% daripada jumlah tunggakan setiap 1/2 tahun.

4. Bagaimanakah hendak mengelak denda atau tindakan

Waran tahanan / mahkamah?Bayar segera sebelum 28hb. Februari / 31hb. Ogos pada tiap-tiap tahun.

5. Apakah yang perlu anda lakukan jika bil-bil tidak diterima?

Anda hanya perlu membawa maklumat seperti No. Rumah, No. Lot, Nama Pemunya dan Bil Lama ke Bahagian Penilaian Majlis Daerah Selama.

6. Jika anda hanya seorang penyewa rumah / bangunan tersebut, apa harus anda lakukan?

Anda hendaklah mengemukakan bil-bil cukai taksiran yang anda terima bagi bangunan yang disewa dengan segera kepada pemilik bangunan.

Jika pemilik gagal menjelaskan cukai tersebut harta anda didalam bangunan tersebut akan dirampas.

Oleh itu anda boleh melindungi dangan membayar cukai itu kepada Majlis Daerah dengan memotong dari wang sewa rumah. Seksyen 151 (6) Akta Kerajaan Tempatan Melindungi anda.

7. Bagi Maksud Seksyen Ini, Perbahasan 'Bangunan' termasuklah :

Sesuatu flat yang lengkap dalam bangunan yang didirikan dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan.Mana-mana seluruh tingkat sesuatu bangunan yang mempunyai jalan masuk yang berasingan.Ruang lantai kurang daripada 1,000 kaki persegi pada tingkat yang sama sesuatu bangunan yang boleh disewakan sebagai suatu pejabat, kedai, kilang, gudang dan lain-lain bangunan yang seumpamanya.

8. Apakah yang anda ingin lakukan apabila anda ingin membeli rumah / tanah kosong dalam kawasan majlis daerah selama?

Sila datang ke Pejabat Majlis Daerah Selama untuk menyemak siapakah pemilik berdaftar dan berapakah jumlah Cukai Taksiran / jumlah tunggakan. Seksyen 146, Akta Kerajaan Tempatan, menegaskan semua tunggakan Cukai Taksiran adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu. Sebelum membeli, pastikan pemilik asal telah menyelesaikan semua tunggakan. 

9. Apakah yang perlu anda lakukan jika anda telah menukar milik (pindah milik) menjual tanah / rumah?

Jika sesuatu pegangan (rumah / tanah) dijual / pindah milik, maka adalah menjadi tanggungjawab penjual, pembeli atau pemindah milik mengisi Borang I yang disediakan serta salinan geran tanah berkenaan. Kembalikan kepada Majlis Daerah Selama dalam (3) bulan pindahmilik / jualan.

Jika pemilik pegangan (rumah / tanah) meninggal dunia, maka adalh menjadi tanggungjawab pemunya melalui warisan memberi notis dalam tempoh (1) tahun selepas kematian itu.

Jika gagal, anda boleh didendatidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih (6) bulan atau kedua-duanya sekali seperti peruntukan dalam seksyen 160 (6) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

 

 

 

 

10. Tidak mampu membayar tunggakan cukai taksiran sekali gus?

Sila datang ke Pejabat Majlis Daerah Selama untuk berunding dan mendapatkan kelulusan cara penyelesaiannya.

11. Apa Perbezaan Cukai Taksiran dan Cukai Tanah?
  • Apa itu Cukai Tanah ?
    Cukai Tanah ialah cukai yang mesti dibayar oleh Tuan Tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah.  Cukai Tanah mesti dibayar sepenuhnya mulai 1 Januari setiap tahun dan akan menjadi tunggakan mulai 1 Jun setiap tahun.
     
  • Apakah perbezaan 'Cukai Taksiran' dan 'Cukai Tanah'?
    Cukai Taksiran atau juga dikenali sebagai "Cukai Pintu' dibayar kepada pihak Berkuasa Tempatan dan perlu dibayar dua kali setahun. Bil cukai taksiran berwarna biru.

Cukai Tanah adalah cukai yang dikenakan bagi tanah hak persendirian dan wajib dibayar sekali setahun kepada pihak Berkuasa Negeri.  Bil cukai tanah berwarna kuning.

Pegawai yang boleh dihubungi:- 

Nama

: En. Rofizlan Bin Yunus

Jawatan

: Penolong Pegawai Penilaian dan Harta         

Bahagian

: Penilaian

Emel

: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

SOALAN LAZIM MENGENAI PUSAT SETEMPAT (ONE STOP CENTER OSC)

1. Apakah Objektif OSC?
  • Menyelaras dan memudahcara proses kelulusan permohonan pembangunan tanah, permohonan kebenaran merancang , pelan bangunan, pelan kerja tanah, pelan jalan dan parit dan pelan-pelan lain berkaitan cadangan pemajuan.
  • Memendekkan norma masa dan mempercepatkan proses permohonan cadangan pemajuan di bawah konsep Bina Kemudian Jual (BKJ) dalam tempoh empat (4) bulan dan di bawah konsep Jual Kemudian Bina (JKB) dalam tempoh enam (6) bulan ; dan
  • Menyeragamkan prosedur dan proses cadangan pemajuan dengan mengambilkira peruntukan-peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 56) , Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)
2. Apakah Tugas Urusetia OSC?
  • Menerima, menyemak dan merekod semua pemohonan Pelan Cadangan Pemajuan
  • Mengedar Pemohonan ke jabatan teknikal dalaman PBT dan agensi teknikal luaran atau pihak yang berkenaan untuk diproses serta mendapat ulasan teknikal.
  • Memantau pemohonan-pemohonan yang telah diedar ke agensi teknikal dan jabatan dalam PBT
  • Menjadi urusetia kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) 2 kali sebulan
  • Melaporkan kemajuan pencapaian semua pemohonan kelulusan kepada Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC)
3. Jenis-jenis permohonan yang diterima oleh OSC?
  • Permohonan serentak tukar syarat dan pecah sempadan, kebenaran merancang, pelan bangunan, pelan kerja tanah serta pelan jalan dan parit;
  • Permohonan serentak penyerahan balik dan pemberimilikan semula, kebenaran merancang, pelan bangunan, pelan kerja tanah serta pelan jalan dan parit;
  • Permohonan tukar syarat dan kebenaran merancang;
  • Permohonan tukar syarat, kebenaran merancang serta pelan bangunan;
  • Permohonan kebenaran merancang;
  • Permohonan pelan bangunan;
  • Permohonan pelan kerja tanah;
  • Permohonan pelan jalan dan parit;
  • Permohonan dan pengeluaran CFO;
  • Pengemukakan notis penyiapan berperingkat dalam sistem CCC;
  • Pengeluaran laporan ketidakpatuhan sistem CCC; dan
  • Permit untuk pembinaan kecil atau perubahan dan tambahan kecil.
4. Bagaimanakah sekiranya permohonan yang dikemukakan tidak lengkap?

Bagi permohonan yang tidak lengkap, Urusetia OSC hendaklah menerima permohonan tersebut dan memaklumkan kepada pemohon supaya mengemukakan dokumen tambahan yang diperlukan. Urusetia OSC hanya akan mendaftar permohonan yang lengkap dan akan diedarkan kepada jabatan-jabatan untuk diproses dan rujukan kepada Jabatan/Agensi Teknikal untuk ulasan dan pandangan. Jangkamasa memproses akan mula dikira apabila permohonan didaftarkan.

5. Bagaimana penubuhan Pusat Setempat dapat memastikan proses permohonan cadangan pemajuan dengan cepat?

Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat telah ditetapkan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Sekiranya Pengerusi tidak dapat mempengerusikan mesyuarat, Timbalan Pengerusi akan dilantik untuk mengambil alih tugasnya. Ini untuk memastikan perjalanan mesyuarat tidak tergendala. Selain itu, Urus Setia Pusat Setempat diberi masa 1 hari untuk mengedarkan permohonan-permohonan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan seperti yang ditetapkan selepas pendaftaran dan buka fail. Urus Setia Pusat Setempat perlu menetapkan semua permohonan yang kemuka sebelum pukul 12 tengahari akan didaftar, buka fail dan diedar pada hari yang sama. Manakala permohonan yang kemuka selepas 12 tengahari akan didaftar, buka fail dan diedar pada hari keesokannya. Urus Setia Pusat Setempat diberi tanggungjawab ini. Pada masa yang sama, Urus Setia perlu mengawal selia dan memastikan Jabatan Teknikal memberi ulasan teknikal dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 25 hari (konsep BKJ) atau 40 hari (konsep JKB)

Apakah Perancangan Bandar?

Perancangan Bandar dikenali sebagai "Perancangan fizikal" atau "perancangan kegunaan tanah".

RANCANGAN TEMPATAN DAERAH SELAMA 2015

1. A-Apakah Rancangan Tempatan (RT)?

Merupakan satu dokumen rasmi yang mentafsirkan dasar-dasar dan cadangan-cadangan umum yang terkandung di dalam Rancangan Struktur Negeri Perak 2020 (RS) kepada bentuk fizikal yang lebih terperinci dan praktikal.

  • Dokumen berhubung dengan sesuatu kawasan. Disediakan bawah peruntukan seksyen 12 hingga 16A.(merujuk Akta Perancang Bandar dan Desa 1976)
  • Mengandungi peta-peta dan pernyataan bertulis yang disokong oleh garis panduan pelaksanaan
  • Menerangkan dengan lebih terperinci segala cadangan-cadangan PBPT untuk pemajuan dan penggunaan tanah.
  • Menterjemahkan dan memperincikan dasar-dasar strategik Rancangan Struktur Negeri Perak 2020. Perenggan 12(3)(a) mengadakan rumusan dan perincian yang difikirkan sesuai oleh PBPT mengenai cadangannya bagi: memajukan;menggunakan tanah dalam; melindungi dan memperelok alam sekitar dari segi fizikal; memelihara topografi semulajadi; memperelok landskap; memelihara dan menanam pokok dalam; mengadakan tanah lapang dalam; memelihara dan mengindahkan ciri dan rupa bangunan dalam; memperbaiki sistem komunikasi dalam; dan mengendalikan lalu lintas dalan kawasan RT.
2. B-Apakah Fungsi Rancangan Tempatan?
  • Menterjemahkan strategi-strategi RS yang mengandungi polisi dan cadangan am PBPT berkenaan dengan kuasa tempatan;
  • Menyediakan g aris panduan bagi kawalan pembangunan. Pelan-pelan tempatan akan menjadi garis panduan bagi urusan mengatur dan mengawal pembangunan di kawasan yang diliputi oleh pelan-pelan tersebut
  • Dasar-dasar dan cadangan dalam RT akan digunakan sebagai asas untuk menyelaraskan keputusan-keputusan, aturcara pembangunan, perbelanjaan awam dan persendirian terhadap kawasan yang diliputi oleh RT; dan
  • Mengemukakan isu-isu dan cadangan yang terperinci kepada orang awam.
3. C-Kenapa RT Diperlukan?
  • Melaksanakan strategi RS dengan lebih terperinci.
  • Menerangkan dengan lebih jelas dasar kawalan perancangan pembangunan di Selamamampu menerangkan kepada pihak awam tentang isu-isu perancangan yang terperinci.
  • Membolehkan pemilik, pemaju dan pihak lain mengetahui bagaimana tanah-tanah mereka terlibat dengan perancangan semasa dan akan datang.

KEBENARAN MERANCANG

Merujuk Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 seksyen 19.(1) tiada seorang pun, selain pihak berkuasa tempatan, boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah subseksyen 24(3).

1. Apakah Kebenaran Merancang?

Merupakan kebenaran secara bertulis daripada pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT;- Majlis Daerah Selama)

  • Kebenaran merancang adalah kelulusan yang diperlukan setelah kelulusan tukar syarat tanah diperolehi, yang mana ia adalah sebelum proses pelan bangunan diteruskan.
  • Tiada had keluasan tanah yang dikecualikan daripada kebenaran merancang, walaupun tanah tersebut kurang daripada 1 ekar.
2. Apakah Kaitan Kebenaran Merancang Dengan Pembangunan?

Kebenaran merancang merupakan di antara proses yang perlu dilalui dalam mendapatkan kelulusan perancangan untuk sesuatu projek pembangunan. Proses tersebut boleh dilihat seperti di bawah:

  • Kelulusan tukar syarat tanah
  • Kelulusan pelan susunatur (kebenaran merancang)
  • Kelulusan pelan pinta ukur (pre-comp plan)
  • Kelulusan pelan bangunan
3. Apa Yang Boleh Dilakukan Setelah Kebenaran Merancang Diperolehi?

Secara amnya pembangunan boleh dimulakan setelah kebenaran merancang diperolehi.

  • Kebenaran merancang yang telah diluluskan dalam konteks pelan susun atur ialah pelan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa perancang tempatan.
  • Pelan susun atur ini boleh digunakan secara rasmi pihak seterusnya iaitu Jurukur dan Jurubina (Arkitek).
  • Pelan tapak ini diukur dengan memasukkan jarak yang tepat serta ‘bearing ‘oleh jurukur bagi memastikan ianya bertepatan dengan apa yang terdapat pada pelan dan tapak sebenar (pelan pinta ukur).
  • Pelan pinta ukur atau pelan 'pre-comp' akan digunakan oleh arkitek untuk kerja-kerja merekabentuk bangunan dalam pelan susunatur tersebut (pelan bangunan).
  • Pelan bangunan diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan beserta dengan pelan-pelan lain (contoh: pelan-pelan kejuruteraan) yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Kerja-kerja tanah boleh dimulakan dengan memperolehi kelulusan permit menjalakan kerja-kerja tanah
4. Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Pemohon Jika Ia Tidak Puas Hati Dengan Keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan?
  • Pemohon yang tidak puas hati dengan keputusan pihak berkuasa perancang tempatan yang enggan beri kebenaran merancang atau kepada syarat-syarat dalam kebenaran merancang itu boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan.
  • Lembaga rayuan akan menyemak keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa perancang tempatan itu dengan mendengar dari kedua-dua pihak perayu dan pihak berkuasa perancang tempatan.
  • Lembaga Rayuan seterusnya akan memutuskan samada mengekal, membatal atau mengubahsuai kebenaran merancang itu.
5. Tahukah Anda Kebenaran Merancang Yang Diluluskan, Boleh Ditarik Balik Oleh Pihak Bekuasa Perancang Tempatan?
  • Sesuatu kebenaran merancang yang diluluskan oleh pihak berkuasa perancang tempatan boleh ditarikbalik sekiranya terdapat kepentingan awam yang dibenarkan mengatasinya.
  • Perintah menarik semula kebenaran merancang perlu mendapat persetujuan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerajaan Negeri.
  • Pihak berkuasa perancang tempatan juga berhak untuk merobohkan apa-apa jua bentuk bangunan yang didirikan bagi maksud menarikbalik kebenaran merancang [seksyen 25 (4) Akta 172].

LAPORAN CADANGAN PEMAJUAN (LCP)

A) Apakah Laporan Cadangan Pemajuan (LCP)?

Laporan teknikal yang menerangkan dan menjelaskan mengenai cadangan tapak pemajuan bagi memudahkan pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) dalam menjalankan proses kebenaran merancang.

B) Apakah kandungan LCP?

Subseksyen 21A (1) memperuntukkan kandungan LCP seperti di bawah:

  • Konsep dan justifikasi pemajuan;
  • Peta Lokasi dan pelan tapak;
  • Butir-butir hak milik tanah dan sekatan,jika ada ( darisegi fizikal, topografi, air dan tadahan air dan bentuk semulajadi, jenis tumbuh-tumbuhan dan butir-butir bangunan.
  • Analisis gunatanah dan kesannya terhadap tanah yang bersempadan
  • Apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa perancang tempatan(PBPT).
C) Permohonan yang Memerlukan LCP?
  • Permohonan ubah jenis kegunaan tanah
  • Permohonan kelulusan pelan susunatur
  • Permohonan kelulusan pendirian bangunan
  • Permohonan kelulusan ubah jenis kegunaan bangunan
  • Permohonan pecah bahagian dan percantuman lot
D) Siapakah yang Bertanggungjawab Menyediakan LCP?

Subseksyen 13(1) Akta Perancang Bandar 1995 (Akta 538) memeperuntukkan hak seseorang Perancang Bandar berdaftar dianggap pihak yang layak menyediakan LCP.

PEMBANGUNAN MAMPAN

Apakah Pembanguan Mampan?

"pembangunan yang memenuhi keperluan semasa serta masa hadapan bagi mencapai kesinambungan antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar demi kesejahteraan bersama tanpa menjejaskan keperluan generasi seterusnya".

Pembangunan mampan juga memperseimbangkan pembangunan ekonomi dengan keperluan-keperluan sosial dan alam sekitar yang berteraskan ‘People Centric'. Pendekatan 'people centric' ini sangat bertepatan dengan aspirasi dan matlamat 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan yang diketengahkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia.

Perhatian :

Jika anda mempunyai sebarang soalan yang tiada di dalam Soalan Lazim ini, boleh menghubungi nombor berikut hotline di 05-839 4201 atau emailkan kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Selama. Sesuai dipapar menggunakan IE versi 9 & ke atas, Mozilla Firefox versi 6.0 ke atas dan Google Chrome 13.0 ke atas dengan resolusi 1024 x 768 ke atas. Kemaskini : 15/04/2024 | Jumlah Pelawat : 4953585