Post kali ini agak panjang, namun PENTING terutama untuk makluman para penternak yang tidak dapat hadir.
Sesi telah berlangsung pada 3 Mac 2023 yang dipengerusikan oleh Tuan Nor Akmal bin Yang Ghazali, Yang Dipertua Majlis Daerah Selama (MDS).
Turut hadir ialah Ahli Majlis, Setiausaha MDS, pegawai-pegawai daripada MDS, Pej. Daerah dan Tanah Selama, IPD Selama serta Pejabat Veterinar LMS, Penghulu-penghulu Mukim, wakil ladang-ladang, wakil kilang dan juga penternak.
Taklimat telah disampaikan oleh En. Mohamad Razif bin Ismail, Ketua Unit Undang-undang dan Penguatkuasa MDS berkaitan punca kuasa penguatkuasaan dan kaedah kolaborasi strategik yang dicadangkan.
Wakil Polis Daerah Selama Perak yang hadir juga memaklumkan statistik kemalangan yang disebabkan haiwan merayau juga agak tinggi di Selama, iaitu 56 dan 55 kes bagi tahun 2021 dan 2022. Justeru, adalah amat penting operasi penguatkuasaan yang berkesan dilaksanakan untuk memastikan masalah ini dapat diatasi.
Berikut merupakan hasil dan keputusan sesi libat urus ini ;
1. Semua penternak haiwan (lembu, kerbau, kambing) PERLU berdaftar dengan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Selama / LMS memandangkan masih ramai yang belum berbuat demikian. Ini perlu bagi menyelaraskan data, mendapatkan khidmat nasihat dan menyusun kembali keperluan padang ragut.
2. Semua pemilik haiwan dengan SERTA-MERTA perlu memastikan kawalan sepenuhnya haiwan ternakan masing-masing dan tidak dibenarkan menceroboh kawasan jiran / awam, masuk ke ladang-ladang tanpa kebenaran ataupun terbiar di tepi / tengah jalan raya sehingga menimbulkan kacau ganggu dan mengancam keselamatan. Jika ada penternak yang melepaskan haiwan ke dalam ladang, mereka perlu memastikan kebenaran daripada pihak pemilik ladang diperoleh.
3. Haiwan yang terbiar tanpa kawalan dianggap sebagai haiwan merayau dan boleh disita oleh MDS. Punca kuasa : Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Haiwan Ternakan Dan Haiwan Merayau (Majlis Daerah Selama) 2011.
4. UUK ini terdapat dua bahagian. Bagi Bahagian 1 berkaitan Pelesenan Haiwan (Lembu, Kerbau, Kambing) yang ditangguhkan sejak 2011 lagi, pihak MDS akan membawa semula ke perbincangan dalam Mesyuarat Penuh MDS akan datang.
5. Bagi Bahagian 2 berkaitan Penguatkuasaan, adalah dipersetujui ianya dijalankan berkuatkuasa serta-merta secara kerjasama daripada komuniti di daerah Selama sebagai Rakan Strategik MDS (RSMDS).
6. Ini memandangkan pihak MDS dan JPV LMS kekurangan logistik dan tenaga kerja untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkesan. Khidmat penembak menggunakan pelali juga adalah amat terhad dan sekiranya diperoleh pun, aktiviti penguatkuasaan secara berjadual ini sering tidak memperoleh hasil kerana masa rayauan haiwan adalah tidak menentu.
7. Sesiapa sahaja boleh bertindak sebagai RSMDS namun perlu bergerak secara berkumpulan dan perlu bernaung di bawah sesuatu pertubuhan/ badan. RSMDS boleh terdiri daripada Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK), Rukun Tetangga (RT), Agensi Kerajaan dan Syarikat Pengurusan Ladang/Estet serta kilang di daerah Selama.
8. RSMDS boleh membantu untuk menangkap haiwan merayau yang berkenaan dengan cara menutup pagar kawasan yang diceroboh dan menambat haiwan berkenaan. Setelah ditambat, MDS dihubungi untuk mengangkut haiwan berkenaan ke kandang dan laporan polis dibuat. Dalam melaksanakan perkara ini, aspek keselamatan adalah amat perlu diberi perhatian dan diutamakan.
9. Tatacara sitaan dan tahanan selanjutnya akan dilaksana oleh MDS. Haiwan yang tidak dituntut akan dilupus dengan cara yang akan ditentukan berdasarkan keadaan haiwan (dilelong, disembelih atau lupusan sebagai makanan di Zoo Taiping)
10. Sebanyak 40% daripada hasil lelongan akan dikembalikan kepada RSMDS sebagai insentif kerana membantu proses penguatkuasaan.
11. Tatacara adalah dilampirkan sebagai panduan bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit. Segala pelaksanaan dalam proses penguatkuasaan ini perlu dilapor kepada pihak PDRM bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini seperti kecurian.
12. Pelaksanaan bagi penguatkuasaan perkara ini dipersetujui untuk dijalankan secara serta-merta memandangkan pemberian insentif kepada pihak yang membantu ini telah bermula sejak akhir tahun 2021 lagi. Pihak MDS juga akan melaksanakan hebahan lanjut berkaitan perkara ini agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan selepas ini.
MDS sekali lagi ingin mengambil kesempatan untuk menyeru agar semua pihak terutamanya penternak dapat memastikan tanggung jawab masing-masing dilaksanakan dengan sewajarnya agar keselamatan warganya dan keindahan Selama kekal terpelihara. Apatah lagi daerah Selama kini kian dikenali sebagai destinasi ekopelancongan dan ramai orang luar yang mula berkunjung ke sini.
Sekalung penghargaan Terima Kasih تريما كاسيه kepada semua pihak yang hadir menjayakan sesi libat urus tersebut dan semoga Allah mempermudah dan merahmati usaha kita, Inshaa-Allah. Segala kerjasama amatlah dihargai.
MAJLIS DAERAH SELAMA
5.03.2023
#infomdselama